Telah lalu kejadian itu dan dia telah
memberi kesan ke dalam jantung saya; rupa – rupanya kedukaan dan cubaan mesti
diturunkan kepada manusia secukup – cukupnya dan sepuas – puasnya, menanglah
siapa yang tahan.
Sejak kematian itu tidak beberapa kerap
lagi saya datang ke rumahnya, saya karam dalam permenungan, memikirkan hidup
saya di belakang hari, sebatang kara di dunia ini.
Pada suatu petang sedang matahari akan
tenggelam ke dasar lautan di Batang Arau, di antara Hujung Gunung Padang, di
celah – celah ombak yang memecah ke atas pasir yang putih di Pulau Pandan, di
waktu saya sedang berjalan seorang diri di pesisir Batang Arau yang indah,
melihat perahu keluar masuk, tiba – tiba,…
kelihatan oleh saya sebuah perahu tumpangan
datang dari seberang, di atasnya duduk tiga orang perempuan yang agak tua,
bertudung kain bugis halus, setelah perahu kecil itu hampir, keluar dari
dalamnya perempuan – perempuan itu, seorang di antaranya ialah Mak Asiah
sendiri, ia lekas melihat saya, "Oh, engkau Hamid? Mengapa di sini?"
Katanya.
"Berjalan – jalan emak," jawabku;
"Dan emak dari mana?"
"Dari menziarahi kubur bapamu,… mengapa
engkau tak datang ke rumah semenjak ibumu meninggal? Kerana Engku Haji
Jaafar tiada lagi, akan engkau alangi saja datang ke rumah?"
"Tidak emak, Cuma kematian yang
bertimpa – timpa itu agak mendukacitakan hatiku, itu sebab saya kurang benar
keluar rumah."
"Tak boleh begitu, Hamid; sebabnya
engkaulah yang mesti menyabarkan hati kami. Besok engkau mesti datang ke rumah,
ibu tunggu kedatanganmu, banyak yang perlu kita bincangkan."
"Baiklah mak."
"Saya tunggu, ya?"
"Baik, mak!"
Setelah itu ia pun pergi di tengah jalan,
sebelum mereka naik dari sampan, rupanya pembicaraan mereka terhadap diri saya
saja. Kerana tak berapa jauh langkahnya, perempuan – perempuan tua yang lain
semuanya menoleh kepada saya sebagai rupa orang menunjukkan belas kasihan.
Besoknya janji itu pun saya tepati.
Wahai tuan, hari itulah masa yang tak dapat
saya lupakan! Saya datang ke rumah itu, rumah tempat saya bersenda gurau dengan
Zainab di waktu kecil, rumah itu seakan – akan hilang semangat dan memang
kehilangan semangat, kerana bekas – bekas kematian masih kelihatan nyata. Pintu
luar terbuka sedikit dan saya ketuk pintunya yang mengadap ke dalam; pintu
terbuka,…
Zainab yang membukakan.
"Abang Hamid!" katanya.
Waktu itu kelihatan nyata oleh saya mukanya
merah, nampak sangat gembiranya melihat kedatangan saya. Baru sekali itu dan
baru saat itu selama hidup saya melihat mukanya demikian, yang tak pernah saya
gambarkan dan tuturkan dengan susunan kata, pendeknya wajah yang memberikan
saya penuh pengharapan.
"Bang Hamid!" katanya menyambung
perkataannya, "Sudah lama benar abang tak kemari, lupa agaknya abang
kepada kami!"
Gugup saya hendak menjawab; saya pintar
mengarang khayal dan angan – angan tetapi bila sampai di hadapannya saya
menjadi seorang yang bodoh.
"Tidak, Zainab" jawabku dengan
gugup; "Tetapi,… bukankan kita sama – sama kematian?"
"Memang, kematian itulah yang
sepatutnya menjadikan abang kerap kemari."
Seketika itu mukanya kembali ditekurkannya
menghadapi kakinya, tangannya berpegang ke pinggir pintu, rambutnya yang halus
menutupi sebahagian keningnya dan sepatah kata pun dia tidak berbicara lagi.
"Zainab,…" kataku pula. "Sebetulnya
tidak saya,… Pernah lupa datang kemari, barangkali engkaulah,… agaknya yang,… lupa
kepadaku."
Mendengar itu ia bertambah menekur, tak
berani ia mengangkat muka lagi, dan saya pun gugup hendak menambah perkataan,
memang bodoh saya ini, dan pengecut!
Tiba – tiba dalam saya menyediakan
perkataan yang akan saya katakana pula dalam sedang merenungi kecantikan
Zainab, kedengaranlah dari halaman tapak kaki emak Asiah menginjak batu; Zainab
mengangkat mukanya seraya berkata: "Itu ibu datang."
Saya masih dalam kebingungan, Zainab lalu
kehadapan saya mengadap kedatangan ibunya. Ketika sampai ke beranda dia berkata
"Sudah lama Mid?"
"Baru sebentar, Mak" jawabku.
Saya disuruh duduk, Zainab dengan segera
pergi ke belakang memasak kopi sebagaimana kebiasaannya. "Hampir mak terlupa
akan janji kita. Tadi mak pergi ke rumah orang sebelah kerana tiada lama lagi
dia akan mengahwinkan anaknya; jadi dari sekarang sedang bersiap-siap menyediakan
yang perlu, maklumlah tetangga, perlu bantu – membantu."
Saya dengarkan perkataannya, tetapi fikiran
saya masih tetap ingat kepada kejadian tadi. Fikiran saya menjalar kemana – mana,
memikirkan tegur Zainab dan mukanya yang merah ketika mulamula melihat saya;
hanya suatu kejadian yang tiba-tibakah itu, atau adakah dia merasai apa yang saya
rasai? Dalam pada itu Mak Asiah masih tetap membicarakan beberapa perkara
menyebutnyebut jasa suaminya, menyebut kebaikan ibuku. Akhirnya sampai
pembicaraan kepada Zainab.
"Bagaimanakah fikiranmu Hamid, tentang
adikmu Zainab ini?"
"Apakah yang emak maksudkan” Tanya
saya.
"Semua keluarga di darat (darat adalah
sebutan dari Padang Halus) telah bermuafakat dengan emak hendak mempertalikan
Zainab dengan seorang anak saudara almarhum bapamu, yang ada di darat itu, dia
sekarang sedang bersekolah di Jawa. Maksud mereka dengan perkahwinan itu supaya
hartabenda almarhum bapanya dapat dijagai oleh familinya sendiri, oleh anak
saudaranya, sebab tidak ada saudara yang lain, dialah anak yang tunggal.
Pertunangan itu telah dirunding oleh orang yang sepatutnya, jika tiada aral
melintang, bulan depan hendak dipertunangkan dahulu, nanti apabila tamat
sekolahnya akan dilangsungkan perkahwinan. Hal ini telah mak rundingkan dengan
Zainab, tetapi tiap-tiap ditanya dia menjawab belum hendak bersuami, katanya,
tanah perkuburan ayahnya masih merah, airmatanya belum kering lagi. Itulah
sebabnya engkau disuruh kemari, akan emak lawan berunding, mak masih ingat
pertalian engkau dan Zainab masa engkau kecil dan masih sekolah; engkau banyak
mengetahui tabiatnya apalagi engkau tidak dipandangnya sebagai orang lain,
sukakah engkau Hamid, menolong emak?" Lama saya termenung,…
“Mengapa engkau termenung, Hamid? Dapatkan
engkau menolong emak, melembutkan hatinya dan memujuk ia supaya mahu? Hamid!...
emak percaya sepenuh-penuhnya kepadamu sebagai Allahyarham bapamu percaya
kepada engkau!”
"Apakah yang akan dapat saya Bantu
mak? Saya seorang yang lemah. Sedangkan ibunya sendiri tak dapat mematah dan
melembutkan hatinya apatah lagi saya orang lain, anak semangnya."
"Jangan bercakap begitu, Hamid, engkau
bukan emak pandang sebagai orang lain lagi, almarhum telah memasukkan engkau ke
dalam golongan kami, walaupun beragih tetapi tak bercerai. Maka di atas namanya
hari ini, di atas nama Haji Jaafar mak meminta tolong melembutkan hati adikmu."
"Oh itu namanya perintah, saya
kabulkan permintaan mak."
Mukanya kelihatan gembira, meskipun dia tak
sempat memperhatikan bagaimana perubahan muka saya yang telah muram. Kemudian
keluarlah Zainab membawa dua cawan kopi dan beberapa piring kuih. Ibunya
melihat kepadanya dengan kasih dan mesra, kerana pada diri anaknya itulah
tergantung pengharapannya dan penghabisan.
"Duduk, Nab, abangmu Hamid hendak
berkata-kata sepatah dua kata dengan engkau."
Saya masih agak bingung dan Zainab telah
duduk dekat ibunya dengan wajah kemalu – maluan.
Beberapa minit lamanya tenang saja dalam
ruangan itu tak seorang jua pun di antara kami yang berkata; ibunya seakan – akan
menunggu supaya perkataan itu lekas dimulai, Zainab kelihatan malu tak mahu
melihat muka saya, sedang saya masih termenung memikirkan dari manakah percakapan
itu akan saya mulai.
"Bicaralah, Hamid, amat banyak masa
terbuang," kata ibu dengan tiba – tiba. Sulit sekali untuk memulai
pembicaraan itu, sulit menyuruh seorang mengerjakan suatu pekerjaan yang berat hatinya
melakukan, pekerjaan yang berlawanan dengan kehendak hatinya sendiri. Tetapi di
balik itu, sebagai seorang anak muda yang telah dicurahi orang kepercayaan
dengan sepenuhnya, yang sudi mengorbankan jiwa untuk menyimpan rahsia. Akhirnya
hati saya dapat saya bulatkan dan mulai berkata:
"Begini Zainab,… Sudah lama ayah
meninggal, semenjak itu lenganglah rumah ini, tiada seorang pembela pun yang
akan dapat menjaganya. Selain dari itu, menurut aturan hidup di dunia, seorang
gadis perlulah mengikut perintah orangtuanya, terutama kita orang Timur ini.
Buat menunjukkan setia hormatnya kepada orangtuanya, ia perlu menekan perasaan
hati sendiri. Dia mesti ingat sebuah saja, iaitu mempergunakan dirinya, baik
murah atau mahal, untuk berkhidmat kepada orangtuanya."
"Sekarang, kerana memikirkan
kemuslihatan rumahtangga dan memikirkan hati ibumu, pada hal hanya sendiri lagi
yang dapat engkau khidmati, ia berkehendak supaya engkau mahu dipersuamikan,…
dipersuamikan dengan,… kemanakan ayahmu."
Seakan – akan terlepas dari suatu beban
yang maha hebat saya rasanya, setelah selesai perkataan yang sulit itu. Selama
saya berbicara Zainab masih tetap menekur ke meja, tanganya mempermain – mainkan
sebuah pontong macis, diramas – ramasnya dan dipatah – patahnya, belum sebuah
juga perkataan keluar dari mulutnya. Setelah kira – kira lima minit lamanya,
barulah mukanya diangkat, airmatanya kelihatan mengalir, mengalir setitik dua
titik ke pipinya yang halus dan indah itu.
"Bagaimana, Zainab, jawablah
perkataanku!"
"Belum abang, saya belum hendak
kahwin.”
"Atas nama ibu, atas nama almarhum
ayahmu."
"Belum abang!"
"Sampai hati abang memaksa aku?"
"Abang bukan memaksa engkau, adik,…
ingatlah ibumu."
Mendengar itu dia kembali terdiam, ibunya
pun terdiam, ia telah menangis pula. Karam rasanya bumi ini saya pijakkan,
gelap tujuan yang akan saya tempuh. Dua kejadian yang hebat telah membayang
dalam kehidupan saya sehari itu, tak ubahnya dengan seorang yang bermimpi mendapat
sebutir mutiara ditepi lautan besar, sebelum mutiara itu dibawa pulang, tiba – tiba
sudah tersedar; meskipun mata dipaksa hendak tidur, mimpi yang tadi telah
tinggal mimpi, ia telah tamat sehingga itu tidak akan bertambah – tambah lagi.
Selama ini saya masih ragu, adakah Zainab
membalas cinta saya; pertemuan saya dengan dia itu memberikan pengharapan
sedikit pada saya, tetapi belum pengharapan itu dapat saya yakni tibalah
penyerahan ibunya yang berat itu.
Hanya hingga itu dapat saya ceritakan
kepada tuan apa yang terjadi sehari itu. Setelah itu saya pun pulang ke rumah
saya, di jalan pulang saya rasakan badan saya sebagai bayang – bayang tanah serasa
bergoyang saya pijakkan.
Bersambung,…